Friday 16 December 2011

Koperasi Untuk Guru

Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat Berhad (Koperasi KGMMB) ditubuhkan untuk membangunkan ekonomi guru-guru Melayu yang menganggotainya melalui pelbagai bidang perniagaan yang diceburinya.
Pengerusinya, Dr. Abdul Raheem Mohamad Yusof berkata, KGMMB membantu dan menyediakan kemudahan pembiayaan kepada guru-guru Melayu dengan mengumpul dana dan melaburkan semula kepada anggota dalam bentuk pembiayaan.


Jelasnya, objektif penubuhan adalah untuk membangunkan ekonomi guru-guru Melayu yang menganggotainya melalui pembelian tanah dan bangunan, perniagaan pengguna, perladangan, pelaburan, perindustrian, perkhidmatan pengangkutan, perkhidmatan pelancongan, perkhidmatan pembiayaan peribadi serta pembinaan dan pembangunan hartanah.
"Ia bertujuan memajukan perniagaan kredit kepada ahlinya serta kepada ahli KGMMB yang keanggotaannya terbuka kepada guru-guru Melayu yang berkhidmat di bawah Kementerian Pelajaran, tenaga pengajar Melayu yang berkhidmat di Kementerian Pengajian Tinggi dan anggota KGMMB," jelasnya ketika ditemui di Ibu Pejabat Koperasi KGMMB di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu katanya, unit yang paling aktif dalam Koperasi KGMMB ialah KGMMB Dagang (M) Sdn. Bhd. (KDSB) yang terlibat dalam pelbagai urusan perdagangan dan strategi unit perniagaan.
"KDSB menawarkan Skim Pembiayaan Pengguna dan Skim Pinjaman untuk guru-guru dan kakitangan kerajaan bagi tujuan pembelian barangan pengguna seperti perkakasan elektrik, perabot, emas, alatan keselamatan dari Smart Synergy, alat bantuan mengajar interaktif dan lain-lain," katanya.
Menurut beliau, melalui skim yang ditawarkan, ahli-ahli akan mendapat faedah menarik dengan kadar caj keuntungan yang rendah, pembayaran secara ansuran dan pembayaran melalui skim potongan gaji.
Tambahnya, yang lebih istimewa ialah skim itu ditawarkan bukan hanya untuk ahli koperasi sahaja tetapi terbuka kepada semua penjawat awam negara.
"Pembayaran melalui potongan gaji pula akan dibuat selepas tiga atau empat bulan proses pembelian dilakukan di mana para pengguna menggunakan produk tersebut secara percuma dalam tempoh itu," katanya.
Selain itu, bagi memudahkan orang ramai di luar Kuala Lumpur untuk menganggotai badan ini, Koperasi KGMMB turut mempunyai cawangan di beberapa negeri termasuklah Selangor, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Perlis dan Negeri Sembilan.
"Koperasi juga sedang menyiapkan laman web khas bagi pembelian secara atas talian," ujarnya.
Selain KDSB, Koperasi KGMMB turut mempunyai beberapa anak syarikat dalam pelbagai bidang lain seperti Seccolor Industrial (M) Sdn. Bhd., Seccolor Marketing Sdn. Bhd., Koperasi KGMMB Holdings Sdn. Bhd., Koperasi KGMMB Pembinaan dan Koperasi KGMMB Pembangunan.
Koperasi KGMMB merupakan koperasi guru nasional terbesar dalam kalangan 78 buah koperasi guru yang terdapat di negara ini dengan keanggotaan seramai kira-kira 20,000 ahli di seluruh negara dan modal saham terkumpul sebanyak RM51 juta.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Komen saya: Jom2, kita sertai koperasi... hehehe...

No comments:

Post a Comment

Followers