Friday 16 December 2011

CIMB Bantu Pelajar Luar Bandar

SEBANYAK 10 buah sekolah rendah luar bandar terpilih untuk menerima kemudahan portal pendidikan atas talian interaktif yang disumbangkan oleh CIMB Foundation iaitu CIMB Foundation Academic Dashboard.
Kesemua sekolah itu merupakan sekolah angkat CIMB Foundation di bawah program PINTAR iaitu program sekolah angkat yang diterajui oleh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dalam usaha mengukuhkan kecemerlangan akademik terutamanya dalam kalangan murid-murid sekolah luar bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Foundation, Datuk Mohd. Shukri Hussin berkata, syarikatnya telah mengambil pendekatan pro-aktif supaya dapat menjadi pemangkin perubahan untuk membantu menyelesaikan isu kemerosotan akademik dan peratusan kedatangan pelajar ke sekolah.



"Pihak syarikat memberi tumpuan kepada pendekatan memperkukuhkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) melalui teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris dan penekanan terhadap kecemerlangan akademik," katanya ketika berucap pada majlis perasmian CIMB Foundation Academic Dashboard di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom; Pengerusi CIMB Bank Berhad, Tan Sri Haidar Mohamed Nor dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan PINTAR, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zaid Mohd. Noordin.
Menurut Mohd. Shukri, CIMB Foundation Academic Dashboard akan menjadi medium bagi memantau dan mengukur tahap prestasi sekolah dari segi akademik, program-program syarikat dan kegiatan kokurikulum.
"Ia juga merangkumi semua pendekatan yang diperkenalkan oleh CIMB Foundation yang menekankan kepada penggunaan bahasa Inggeris selain menggalakkan penggunaan ICT secara optima di kalangan guru dan murid-murid.
"Semua sekolah yang terlibat mempunyai portalnya yang tersendiri dan mereka dapat melihat apa yang dilakukan oleh sekolah lain secara tidak langsung mewujudkan daya saing positif, ujar beliau.
Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Puteh dan SK Changkat Ibul, Perak; SK Jelutong dan SK Pulau Betong ,Pulau Pinang; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ken Boon, Johor; SK Pauh Lima dan SK Pulau Kundor, Kelantan; SK Seri Lagenda dan SK Seri Pinang, Kedah dan SK Utan Aji, Perlis.
Mohd. Shukri berkata, projek perintis program tersebut telah dimulakan pada 2009 dengan melancarkan program ICT kepada dua buah sekolah iaitu SK Utan Aji di Perlis dan SK Pulau Kundor di Kelantan.
"Bilangan komputer sekolah tersebut ditambah agar dapat menampung penggunaan satu komputer kepada dua murid tahun enam sekolah berkenaan.
"Pihak syarikat juga menyediakan langganan program Tutor iaitu portal pendidikan Utusan Melayu (M) Berhad bagi tujuan latihan dan ulang kaji pelajaran kepada murid sebagai persiapan bagi menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)," jelasnya.
Tambahnya lagi, program perintis 2009 itu telah berjaya menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam peratusan kejayaan murid mendapat keputusan 5A dalam UPSR.
"Secara keseluruhannya, sekolah di bawah tajaan CIMB Foundation telah mencatat peningkatan sebanyak 96 peratus jumlah murid yang mendapat 5A dalam UPSR dan peningkatan 26 peratus yang lulus keseluruhan untuk semua subjek," katanya.
Beliau memberitahu, peruntukan bagi program PINTAR itu juga telah meningkat kepada RM2 juta pada tahun ini berbanding hanya RM780,000 tahun lalu.
"Pelancaran CIMB Foundation Academic Dashboard ini menunjukkan komitmen syarikat dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti di sekolah-sekolah luar bandar," tegas beliau.
Sementara itu, Alimuddin berkata, inisiatif CIMB Foundation sememangnya seiring dengan matlamat Kementerian Pelajaran untuk membangunkan prestasi pencapaian di kalangan murid-murid sekolah luar bandar di samping membekalkan mereka dengan kebolehan dalam penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
"Usaha menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan murid dan guru juga selaras dengan dasar kementerian dalam Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)," katanya.
Projek itu turut mendapat kerjasama Perfisio Solutions Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad, Yayasan Salam Malaysia, British Council, Yayasan PINTAR, pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah serta sekolah-sekolah yang terlibat.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Komen saya: Bagus program ini diadakan. Semoga pelajar luar bandar dapat memanfaatkan prluang seperti ini.


No comments:

Post a Comment

Followers